18 September 2013

TEORI BEHAVIORISME

Salah satu dari bidang ilmu yang banyak mempengaruhi linguistik ialah psikologi. Mereka yang mengkaji mengenai teori behaviorisme ini ialah sarjana psikologi yang beranggapan bahawa pemerolehan sesuatu lakuan terjadi melalui ulangan sesuatu lakuan. Teori psikologi ini menyelidik lakuan-lakuan binatang. Eksperimen ini tidaklah dapat disebut satu persatu tetapi cukuplah bagi kita sekadar membincangkan teori behaviorisme ini yang bersangkutan dengan kegunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Walau bagaimanapun, teori behaviorisme ini tidaklah pula membuat tuntutan yang khusus mengenai bagaimana bahasa dikuasai. Mereka hanya menganggap bahawa kemahiran bertutur itu juga merupakan satu lakuan manusia, sama seperti lakuan lain.

        Jadi bagaimana lakuan lain itu dipelajari, maka begitulah juga lakuan bahasa dipelajari. Kajian mereka hanya ditumpukan kepada lakuan binatang. Kesimpulan dari kajian ini dianggap akan dapat diterima sebagai sah untuk sebarang lakuan manusia. Dalam teori pembelajaran melalui teori lakuan ini, nama ahli psikologi yang masyhur sekali ialah B.F. Skinner. Skinner merupakan seorang sarjana teori behaviorisme dan mengajar di Harvard University. Skinner telah mengkaji dan memperbaiki teori behaviorisme itu. Mengikutnya pembelajaran itu berlaku kalau ada rangsangan dan tindakbalas yang berulangan.

        Dalam hal ini, beliau membuat eksperimen dengan menggunakan binatang, salah satu darinya ialah dengan menggunakan merpati. Merpati itu dikurung dalam kotak. Di dinding kotak itu ada swis. Apabila swis itu dipatuk terbukalah satu lubang untuk memberi makanan. Ini telah ditafsirkan oleh seorang sarjana psikologi sebagai keadaan yang dapat dipadankan dengan pembelajaran lakuan di kalangan binatang, termasuk manusia. Apabila merpati itu lapar dan mematuk swis itu, maka timbullah rangsangan dan diberi balasan dengan makanan. Ini tidak jauh berbeza dari yang disebut oleh Watson dan Guthrie, tetapi apa yang berbeza ialah tentang konsep pengukuhan. Pengukuhan ini dianggap oleh Skinner sebagai asas dalam proses pembelajaran. Pengukuhan berlaku apabila lakuan itu diberi balasan dengan hadiah. Keinginan mendapat balasan hadiah ini menimbulkan keinginan supaya berbuat demikian untuk mendapatkan hadiah yang sama. Oleh sebab itu lakuan itu akan diulang. Pengulangan yang kerap dilakukan akan mengukuhkan proses pembelajaran. Dengan itu terjadilah pembelajaran.
        Berdasarkan pengkajiannya, Skinner telah dapat membezakan dua jenis pembelajaran yang berlainan kerana ada dua jenis lakuan tindakbalas. Pertama ialah lakuan automatik yang tetap. Contoh lakuan automatik yang paling mudah ialah lutut akan terangkat apabila diketuk oleh doktor. Itu merupakan satu lakuan yang ada rangsangan (ketuk) dan ada tindakbalas (kaki terangkat). Lakuan seperti ini dianggap sebagai tindakbalas automatik dan berlaku secara tidak sedar dan ianya tetap. Kedua ialah lakuan operan. Bagi beliau kebanyakan lakuan yang kita lakukan ialah sejenis operan. Lakuan automatik ini akan hanya berlaku sekiranya ada rangsangan tetapi lakuan operan akan berlaku dalam sesuatu lingkungan atau keadaan. Dengan kata lain, rangsangannya tidak semestinya menerbitkan tindakbalas tertentu yang tetap, seperti berjalan, bercakap dan lain-lain.
           
        Misalnya, lakuan menyuap makanan bukan sahaja kerana rangsangan itu melibatkan makanan, tetapi juga kerana rasa lapar, lingkungan sosial dan beberapa lingkungan atau suasana yang berlainan. Proses ini perlulah diambil kira. Belajar melalui lakuan operan itu ialah yang dikatakan pembelajaran menurut syarat. Syarat itu timbul dari lingkungan yang menjadi rangsangan yang mendorong lakuan tersebut. Ini jelas berbeza dari lakuan sebagai tindakbalas otot secara automatik.
            
        Dalam bukunya Verbal Behavior (1957) Skinner telah membincangkan lebih lanjut tentang proses pembelajaran dengan menggunakan unsur rangsangan, tindakbalas dan segala syarat dan pengukuhan yang terlibat dalam menghasilkan pembelajaran secara maksimum. Dengan adanya pendapat ahli psikologi ini, maka ianya dapat menjelaskan kekaburan dari segi teori dalam sistem pembelajaran bahasa dalam abad ke-20 ini. Jadi teori behaviorisme ini melengkapkan apa yang diperlukan oleh para pendidik. Dengan itu lahirlah pendapat yang mengatakan bahasa itu adalah suatu lakuan dan boleh dipelajari melalui syarat-syarat tertentu, samalah dengan binatang mempelajari lakuan tertentu (G.A. Kelly, 1969). Sejak Skinner, ramai lagi ahli psikologi yang mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku. Ada di antara mereka yang mengkaji bagaimana kanak-kanak menguasai bahasa dan apa implikasinya terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa.
          Teori Behaviorisme menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan yang dipelopori oleh B.F.Skinner (1938). Menurut Skinner, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang diberi adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul yang berjaya dilakukan oleh kanak-kanak. Di antara ganjaran yang diberikan adalah pujian seperti ”pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan, dan lain-lain yang boleh merangsang kanak-kanak bercakap.
            
        Teori behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperolehi melalui proses pengulangan Bahasa dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Golongan ini mementingkan pengukuhan dalam pembelajaran yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi pola. Teori ini juga menekankan kemahiran lisan dalam pengajaran.
            
       Prinsip-prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari pandangan dan pendapat ahli-ahli psikologi dan linguistik Aliran Behaviorisme. Golongan ini beranggapan bahawa, bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ahli-ahli Behaviorisme menegaskan bahawa pengajaran bahasa mestilah didahulukan bahasa lisan.
            
        Ini kemudian diikuti dengan bahasa tulisan yang dianggap perkara penting yang kedua dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna guru-guru mestilah berusaha untuk membolehkan murid-murid bertutur dalam bahasa itu dahulu dan kemudian baharulah kepada pengajaran membaca dan menulis. Ini hanya dapat dilakukan setelah murid-murid dapat menguasai system bahasa dan struktur bahasa.Kedua, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran kedua. Untuk membentuk biasaan ini latihan dan latih tubi serta perbualan bahasa juga diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan baik dan pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang kepada yang lebih susah.
            
        Ketiga, pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan ia merupakan satu alat untuk menentukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran bahasa pengukuh-pengukuhnya adalah pujian, keistemewaan, pengiktirafan, maklum balas, galakan dan sebagainya. Mengikut prinsip ini sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguh oleh guru dengan cara memberikan pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.      Keempat, latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan latihan ulangan satu-satu gerak balas dengan satu-satu rangsangan. Latihan dan latih tubi hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan pelajaran tersebut dari berasa bosan.
            
        Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan-bahan makmal bahasa. Dalam hal ini, satu model pembelajaran telah dikemukakan oleh Behaviorisme iaitu :   Latihan yang dikukuhkan ---> pembelajaran ---> perubahan tingkah laku.
          
Kelima, model-model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran bahasa di sekolah-sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh pelajar-pelajar. Jika model-model ini menggunakan bahasa yang sama atau mirip-mirip sama dengan bahasa matlamat, maka ini akan menguntungkan pelajar-pelajar itu. Dan keenam, mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas. Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua-dua unsure ini dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah baru yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat serta motivasi.
            
        Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi rangsangan. Pertama adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku. Kedua adalah dengan cara mempelbagaikan pengalihan saluran deria, ketiga dengan cara mempelbagaikan pola interaksi guru da murid dan keempat dengan cara mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat-alat bantu mengajar.
Berdasarkan teori ini terdapat satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa iaitu melalui pendekatan induktif. Pendekatan induktif ialah memulakan sesuatu pengajaran itu dengan memberikan contoh-contoh terlebih dahulu dan kemudian baharulah diterangkan. 

TEORI KOGNITIF

Kognitif pada diri manusia membezakan manusia dengan haiwan serta makhluk lain di dunia. Kognitif merupakan sesuatu yang berkaitan dengan minda dan akal. Menurut kamus elektronik Besta kognitif ialah perkara yang berkaitan dengan kognisi seperti proses penerimaan maklumat, pemahaman dan penggunaan pengetahuan. Bagi Haliza Hamzah dan Joy N Samuel (2009:42) kemahiran kognitif merupakan kebolehan individu untuk berfikir, memberi pendapat, memahami, mengingat, mengkategorikan, merancang, menaakul, menyelesaikan masalah, mencipta, berimaginasi dan lain-lain. Menurut mereka lagi perkembangan kognitif kanak-kanak memberi penekanan terhadap pemikiran kanak-kanak. Ini bermakna perkembangan kognitif merupakan corak perubahan pemikiran yang berlaku daripada zaman kanak-kanak. Bagi Mok Song Sang (2008:75) kognitif adalah berkait rapat dengan kognisi, iaitu aktiviti atau proses memperolehi ilmu secara taakulan atau pemikiran melalui deria. Atan Long (1982:261) pula menyatakan kognitif adalah melibatkan proses penanggapan, pembinaan, konsep, penakulan, penilaian dan penyelesaian masalah. 
            
      Pembinaan daya pemikiran kanak-kanak dipengaruhi oleh penekanan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak. Bagi Mok Song Sang (2008:42) lagi kemahiran kognitif membolehkan individu itu memberi pendapat, memahami, dan mengingati perkara-perkara yang berlaku di sekeliling. Jelaslah disini bahawa perkembangan kognitif sebenarnya melabangkan proses mental. Semakin berkembang mental individu semakin berkembang kemahiran minda mengikut kadar umur bagi kanak-kanak normal. Bagi kanak-kanak yang tidak normal kognitif mereka berkembang dengan corak yang sama tetapi pada kadar yang berbeza.
            
        Kajian tentang kognitif ini di pelopor oleh dua tokoh terkenal iaitu Jean Piaget ahli psikologi Switzerland dan Lev Vygotsky ahli psikologi Russia. Jean Piaget melahirkan teori yang dikenali sebagai Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget manakala Lev Vygotsky pula memperkenalkan teori perkembangan kognitif yang dikenali dunia sebagai “Teori Perkembangan Kognitif Lev Vygotsky”.
            
      Teori-teori yang dikemukan selepas kajian mereka ini memudahkan guru-guru menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) kerana teori ini membantu guru memahami pemikiran kanak-kanak serta memahami kognitif kanak-kanak. Setiap proses P&P perlulah sesuai dengan perkembangan kognitif kanak-kanak supaya proses P&P adalah berkesan dan membuahkan hasil.Untuk memperoleh penguasaan bahasa seseorang kanak-kanak perlu melalui beberapa peringkat perkembangan kognitifnya.
            
        Peringkat pertama dikatakan sebagai peringkat deria-motor iaitu kanak-kanak berumur dalam lingkungan 18 bulan hingga 2 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak membentuk skemata atau struktur kognitif hasil daripada interaksi yang aktif dengan persekitaran. Pengetahuan digambarkan dalam pelbagai bentuk simbolik. Dari umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak memasuki peringkat tahap pemikiran praoperasi konkrit. Dalam peringkat ini penguasaan bahasa kanak-kanak semakin berkembang. Dalam lingkungan umur 4 tahun kanak-kanak sudah mula pandai bercakap dan boleh membentuk ayat serta memahami percakapan orang lain. Peringkat ketiga adalah operasi konkrit (7 – 12 tahun) iaitu sudah dapat menguasai beberapa kemahiran seperti hukum pengekalan, konsep hubungan, pengkategorian, dan persirian. Umur selepas 12 tahun dikatakan sebagai peringkat operasi formal.
            
        Menurut teori ini, belajar adalah perubahan persepsi dan pemahaman. Perubahan persepsi dan pemahaman tidak selalu berbentuk perubahan tingkah laku yang boleh diteliti. Dasar teori ini adalah setiap orang telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam dirinya. Pengalaman dan pengetahuan ini tertera dalam bentuk struktur kognitif.
Prinsip kognitif banyak digunakan dalam dunia pendidikan, khususnya terlihat pada perancangan suatu sistem instruksional, prinsip-prinsip tersebut antara lain:
1.     Seseorang yang belajar akan lebih mampu mengingat dan memahami sesuatu apabila pelajaran tersebut disusun berdasarkan pola dan logik tertentu
2.     Penyusunan materi pelajaran harus dari sederhana ke kompleks
3.     Belajar dengan memahami akan jauh lebih baik daripada dengan hanya menghafal tanpa pengertian penyajian
        Antara ciri-ciri dalam teori kognitif ialah menekankan kefahaman struktur bahasa yangh dipelajari dan membantu pelajar menguasai bahasa yang dipelajari secara lebih berkesan. Teori ini juga digunakan dalam pengajaran bahasa kedua serta mementingkan pengetahuan dan kesedaran tentang pola-pola sintaksis dan leksikal. Selain itu, teori ini dapat memilih bentuk yang diterima dalam bahasa dan menolak bentuk yang bukan struktur dalam bahasa. Bahasa juga dianggap sebagai fenomena pemikiran dan bukan mekanikal. Aspek analisis dan pembelajaran melalui deduktif ditekankan serta dapat memilih bentuk yang diterima dalam bahasa dan menolak bentuk yang bukan dalam struktur bahasa. Pengetahuan mengenai tatabahasa bahasa kedua dititikberatkan dan kanak-kanak mempunyai satu daya penguasaan yang bertindak melalui hipotesis dan uji kaji.

TEORI MENTALIS

Teori ini dipelopor oleh Noam Chomsky yang memandang bahasa sebagai satu aktiviti mental yang merupakan satu kebolehan khas manusia secara semula jadi. Ia menganggap bahasa adalah sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh sesuatu proses dalam saraf dan ini boleh berlaku setelah menerima bahan buku dalam bentuk perangsang daripada telinga, mata, dan pancaindera lain. Menurut Chomsky, kanak-kanak akan mengalami beberapa peringkat perkembangan dalam pemikiran iaitu bermula dari peringkat terendah deria motor, kemudian kepada pra-operasi, operasi konkrit dan operasi formal. Sebagai contoh, dalam pembelajaran bahasa, kanak-kanak akan menguasai kemahiran memahami terlebih dahulu sebelum mereka belajar bertutur. 
            
        Teori mentalisme menganggap pemerolehan bahasa merupakan satu proses mental. Menurut golongan ini lagi, seseorang itu mempunyai kecekapan (competence), iaitu rumus-rumus yang ada dalam stok mental, dan prestasi (performance) yang merupakan aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek pemikiran, pengetahuan dan makna diberikan penekanan.
            
        Dalam bidang linguistik aliran kod-kognitif tidak ada mencadangkan sebarang kaedah atau prinsip pengajaran bahasa yang tertentu. Walau bagaimanapun kita boleh membuat andaian beberapa prinsip pembelajaran yang dapat diwujudkan melalui pendapat dan pandangan mereka terhaap pemerolehan bahasa. Prinsip-prinsip itu adalah seperti berikut:
            
        Pertama, pembelajaran bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini, pembelajaran bahasa dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini dilahirkan melalui pertuturan.Kedua, semua kanak-kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan dengan kebolehan semula jadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa guru harus menyedari bahawa kebolehan semula jadi untuk berbahasa yang ada pada kanak-kanak itu membolehkan mereka menganalisis pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan pengetahuan bahasa murid-murid dalam masa merancang dan menentukan bahan-bahan pengajaran yang akan diajar nanti.
            
        Ketiga, kadar perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak-kanak pada peringkat kematangan yang sama dalam keadaan yang normal. Prinsp ini mempercayai bahawa kematangan yang sama di kalangan kanak-kanak akan mempunyai ciri-ciri pembelajaran bahasa yang sama. Justeru itu, guru hendaklah berhati-hati membuat pemilihan terhadap bahan-bahan yang hendak disampaikan.
            
       Keempat, penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam sesuatu huraian bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan struktur-struktur bahasa yang betul dari segi tatabahasa dan makna bagi membolehkan kanak-kanak itu berkomunikasi dalam masyarakat bahasa itu. Guru harus menggunakan aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dan berkesan untuk membolehkan kanak-kanak menguasai struktur-struktur bahasa yang terdapat di dalam system bahasanya dengan baik.
            
        Seterusnya kelima, tulisan dan bacaan adalah diutamakan dalam proses pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, kajian-kajian bahasa biasanya dilakukan berasaskan bahasa tulisan. Latihan-latihan tulisan yang diberi termasklah latihan terjemahan bahan daripada bahasa sasaran ke bahasa ibunda atau sebaliknya.
            
     Keenam adalah kajian-kajian bahasa disampaikan secara deduktif dan tatabahasa disampaikan secara formal. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Kajian-kajian bahasa dihuraikan melalui pendekatan deduktif. Ini bermakna, penyampaian pelajaran itu dimulakan dengan pengajaran terus mengenai rumus-rumus ata konsep-konsep tatabahasa dan kemudian baharulah diberi contoh-contoh. Dalam hal mengajarkan tatabahasa kepada pelajar-pelajar biasanya dilakukan secara formal.  Ciri-ciri bagi teori mentalis ialah bahasa dihasilkan melalui proses otak(mental) serta kanak-kanak boleh merumus bahasa berdasarkan keupayaan semula jadi yang berlaku secara biologi. Mereka belajar bahasa secara  formal dan penguasaan bahassa berdasarkan logik.
            
        Selain itu, mereka belajar bahasa melalui latih tubi ataupun ulangan. Jadi melalui proses ulangan mereka dapat belajar melalui kesilapan maka proses yang berulangan dapat membuatkan mereka untuk berbahasa dengan lebih baik. Ungkapan yang hendak diucapkan difikirkan terlebih dahulu agar dapat mengucapakan sesuatu ucapan yang baik. Kesalahan pelajar membentuk rumusan dianggap bukan satu kesalahan sebaliknya cubaan untuk membentuk satu sistem bahasa terhadap sesuatu tanggapan. Mereka juga boleh membuat pilhan sebelum bertutur.

TEORI INTERAKSIONALISME

Teori ini berkembang dalam bidang psikolinguistik dalam tahun enam puluhan dan tujuh puluhan. Teori ini berpendapat bahawa kebolehan kognitif sahaja tidak boleh menjelaskan penguasaan bahasa. Teori intraksionalisme ini dipelopori oleh Halliday.Menurut teori pembelajaran ini, kanak-kanak perlu didedahkan kepada interaksi linguistik agar mereka boleh mempelajari cara-cara menggambarkan makna-makna kognitif dalam bentuk-bentuk linguistik yang jelas dan tepat.
            
        Teori ini memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan ia merupakan satu proses yang melibatkan mental dan linguistik. Teori ini menekankan pentingnya proses pembentukan hipotesis mengenai undang-undang bahasa dalam sesuatu pembelajaran itu. Teori ini juga menyarankan supaya guru-guru memberi banyak latihan kepada pelajar-pelajar. Prinsip-prinsip yang dicetuskan daripada pandangan-pandangan ahli-ahli bahasa Interaksionalisme adalah seperti berikut:
            
        Pertama, penyampaian makna adalah lebih diutamakan dalam komunikasi bahasa. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, sama ada pembelajaran bahasa pertama dan kedua, penyampaian makna adalah penting. Pembelajaran bahasa bukan hanya mempelajari struktur itu tetapi apa yang lebih penting ialah belajar untuk interaksi. Kedua, pembelajaran bahasa merupakan proses mental dan linguistik. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, bahasa yang dituturkan dan makna yang dimaksudkan adalah berhubung rapat.Interaksionalis mementingkan kedua-dua unsure iaitu makna dan struktur bahasa.
            
        ketiga, pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jika guru itu dapat menyampaikan pengajaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang bermakna maka murid-murid berkemampuan untuk menggunakan bahasa itu dengan lancar dan fasih.Ciri-ciri bagi teori intraksionlisme ialah kanak-kanak menguasai bahasa kerana mereka ingin memnuhi keperluan untuk berinteraksi dalam masyarakat. Maka mereka dapat berkomunikasi dengan orang di sekeliling mereka. Selepas mereka berjaya menguasai ujaran bahasa, mereka akan menguasai pula informatif bahasa tersebut.

        Selain itu, sistem bahasa kanak-kanak berupaya menyatakan satu-satu fungsi, sementara bahasa orang dewasa mengandungi lebih daripada satu fungsi. Situasi sosial penting dalam pemerolehan bahasa kanak-kanak kerana melalui hubungan sosial mereka dapat berkomunikasi dengan orang lain dan ini dapat membantu dalam pemerolehan bahasa mereka. Maka secara langsung mereka telah dapat menggunkan struktur bahasa yang betul dalam aspek tatabahasa. Teori ini turut mementingkan komunikasi yang berasaskan pendekatan komunikatif serta sistem tatabahasa kanak-kanak boleh menyatakan dua perkara dalam satu masa. Penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dan juga membantu kanak-kanak menguasai peraturan-peraturan bahasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan